Gadis pusat tahfiz jaja jus herba
Norhafi zah terkejut ketika menyedari kegiatannya dirakamkan.
Gadis pusat tahfiz jaja jus herba
Noraini cuba mengelak ketika Sinar Harian mendekatinya.
BUKIT BERUNTUNG - Pengunjung stesen minyak sekitar kawasan ini mendakwa sering didatangi gadis bawah umur yang membawa jus herba dan resit tertera Pusat Tahfiz Amal yang berpusat di Yan, Kedah.

Dengan skrip sama, mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun ini menjual jus RM10 setiap satu. Bagaimanapun, kegiatan mereka diragui sama ada benar untuk keperluan pusat tahfiz itu atau kepentingan sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat berkenaan.

Untuk itu, Sinar Harian membuat tinjauan bagi menyingkap kegiatan gadis pusat tahfiz dikatakan aktif menjual jus herba, terutama di beberapa stesen minyak. Seorang gadis mendakwa dari pusat tahfiz di utara itu, Noraini Nasri, 14, ketika didekati sedang menjual jus herba kepada pengunjung sebuah stesen minyak di sini.

“Saya cuma ikut sunnah Rasulullah yang berniaga dengan menemui orang satu persatu. Ini cara yang saya amalkan dan melatih saya berdikari,” katanya yang datang bersama seorang lagi rakan dan ditempatkan di stesen minyak bersebelahan.

Noraini mendakwa mereka melakukan secara sukarela dan dipersetujui ibu bapanya yang tinggal di Kedah. Menurutnya, bukan mudah untuk dia melakukan kerja yang didakwa sama seperti amalan Rasulullah SAW.

Ditanya mengapa perempuan yang berniaga dan ke mana perginya pelajar tahfiz lelaki, Noraini senyap seketika sebelum mengatakan dia hanya bercakap perkara wajib diperkatakan.

“Saya tak wajib cakap, jadi buat apa saya beritahu,” katanya.

Noraini juga pada awalnya merahsiakan lokasi dia diturunkan dan mengatakan lupa tempat itu kerana baru tiba di Bukit Beruntung dan dihantar ‘ustaz’ baru dikenali. Tetapi, setelah didesak dia memberitahu mereka datang menaiki van turun sebelah pasar raya sebelum berjalan ke stesen minyak ditetapkan.

Seorang lagi, Norhafizah Azri, 14, pula agak murung dengan pakaian kurang kemas mengatakan kerja itu dilakukan untuk melatihnya berniaga. Anak bongsu daripada enam beradik ini mengakui ibu bapa dan semua abang dan kakaknya melakukan kerja sama di tempat lain.

“Saya mula kerja begini sejak darjah lima sampai sekarang. Mak ayah dan adik beradik lain pun buat juga dan mereka lagi lama,” katanya.

Menurutnya, dia datang bersama 11 rakan lain dan diturunkan di tempat berasingan. Norhafizah berkata, walaupun Pusat Tahfiz Amal beroperasi di Kedah, tetapi mereka tinggal di Damansara dan hanya sesekali pulang ke negeri berkenaan.

"Kami akan datang pada petang hingga lewat malam kerana sebelah pagi akan menghafal al-Quran dan mengikuti kelas fardu ain," katanya.


Tidak pernah minta izin

Sinar Harian turut mendapatkan maklum balas pekerja stesen minyak berkenaan serta pengunjung dan agak terkejut apabila dimaklumkan  gadis terbabit datang hampir setiap hari sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, kumpulan gadis terbabit tidak pernah bersemuka atau meminta izin daripada pengurus stesen minyak untuk berniaga di kawasan itu. Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan, 32, berkata, kumpulan gadis tahfiz itu datang berjalan dan pulang tanpa pernah melihat kenderaan yang menghantar mereka.

“Hampir lima tahun saya di sini, tak pernah tengok atau terserempak orang atau kenderaan yang hantar mereka. Mereka datang petang, malam mereka sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, pengurus stesen itu pernah  cuba mendapatkan maklumat mengenai gadis terbabit namun gagal.

"Gadis berkenaan tidak pernah mendedahkan maklumatdiri dipercayai khuatir sesuatu berlaku kepada mereka," katanya.


Hairan semua wanita

Sementara itu, seorang pengunjung stesen minyak yang enggan dikenali berkata, umumnya pelajar tahfiz adalah dalam kalangan lelaki dan jarang sekali wanita.

"Lagipun jika benar mereka ini pelajar tahfiz, mengapa mereka dibiarkan berkeliaran dan meminta-minta kepada orang ramai yang kebanyakan tidak senang kehadiran mereka.

“Kita tidak usah persoalkan barang dijual kerana hanya jus herba, tetapi tindakan membiarkan gadis bawah umur begini sangat bahaya dan memalukan," katanya.

Menurutnya, gadis bawah umur yang berkeliaran melakukan jualan jus herba atas nama pusat tahfiz tidak sepatutnya berlaku.

“Mereka sepatutnya berada di sekolah dan bukan berniaga pada usia muda begini. Kita pernah tanya mengapa mereka tidak disediakan tempat khusus untuk berniaga seperti membuka kiosk di pasar raya, tetapi dengan petah gadis berkenaan menjawab itu bukan cara Rasulullah," katanya.

Dalam pada itu, dia berharap pihak berkuasa memandang serius kegiatan  kumpulan gadis berkenaan kerana percaya ia didalangi sindiket dan bukan pusat tahfiz seperti didakwa.