Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Gadai nyawa demi sesuap nasi




Dua kanak-kanak dipercayai warga Filipina yang ditahan dalam operasi mencegah pengemis di Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU - Sekumpulan 20 kanak-kanak dipercayai warga Filipina sanggup bergadai nyawa meredah Laut China Selatan dengan menaiki bot penambang dari Pulau Gaya di sini semata-mata untuk mengemis di pusat bandar raya ini sejak dua bulan lalu.
Kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun itu dipercayai diperalat satu sindiket yang akan mengutip RM10 daripada mereka jika berjaya memperoleh pendapatan RM50.
Jarak di antara Pulau Gaya dan bandar Raya Kota Kinabalu ialah kira-kira 1.5 kilometer.
Difahamkan, kadar tambang bot penambang serendah 40 sen bagi satu perjalanan menjadi pendorong kepada kanak-kanak terbabit untuk mengemis meskipun menyedari diri mereka dipergunakan sindiket tertentu.
Bagaimanapun tembelang sindiket tersebut terbongkar hasil operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sekitar bandar raya ini selama dua jam bermula 7.30 malam kelmarin.
Ketika operasi dijalankan, ada kanak-kanak yang sanggup berlari berkaki ayam sejauh 100 meter serta mempertaruhkan nyawa merempuh kesesakan lalu lintas bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Aren, 11, mendakwa, dia menaiki bot bersama rakan-rakan lain termasuk pengemis dewasa ke pusat bandar raya ini setiap hari.
Katanya, mereka akan bertolak dari Pulau Gaya pada pukul 6.45 petang dan tiba di pusat bandar raya pada pukul 7 malam dan terus mengemis.

LOKASI Pulau Gaya di Sabah.


"Kami boleh dapat sehingga RM50 setiap hari dengan menadah tangan dan pakai baju buruk sahaja.
"Apabila pulang semula ke Pulau Gaya, kami perlu beri RM10 kepada abang sindiket," katanya ketika ditemui di pekarangan lobi DBKK selepas ditahan kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Kanan DBKK, Superintendan Ernest Majikon berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam termasuk pelancong yang tidak selesa dengan kegiatan mengemis itu.
Ujarnya, modus operandi mereka adalah dengan mengetuk pintu kenderaan di kawasan yang sesak dengan lalu lintas di beberapa kawasan tertentu bagi meminta sedekah.
"Sebanyak enam tangkapan berjaya dilakukan termasuk dua kanak-kanak perempuan yang bertindak mengemis dan menjual rokok haram di bandar raya ini.
"Turut ditahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang secara tiba-tiba memasuki lobi DBKK bagi melihat kesemua kanak-kanak ditangkap selain memiliki kad pengenalan tentera palsu," kata beliau.

No comments:

Post a Comment