Empat Ah Long kantoi
(Dua, kiri) Zamri dan Zaizul bersama kakitangan dan anggota masing-masing bersama iklan haram yang berjaya diturunkan di sekitar Indera Mahkota 2, dekat sini, semalam.
KUANTAN – Empat lelaki Cina lingkungan 20 dan 30 berjaya diberkas polis sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, modus operandinya dengan menampalkan iklan di pokok, tiang dan pondok telefon dan menawarkan pinjaman wang dengan kadar bunga rendah untuk menarik pelanggan.

Menurutnya, pihak polis menerima tiga aduan melibatkan dua lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu berhubung kegiatan tersebut.
“Mereka juga memperdaya mangsa dengan memberi jaminan mereka merupakan peminjam berlesen.

“Berbanding tahun lalu bagi tempoh sama, kita menerima dua aduan daripada mangsa terdiri daripada lelaki Cina,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung operasi bersepadu membanteras iklan pemberi wang pinjaman tanpa lesen oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Indera Mahkota 2.

Operasi tersebut yang bermula seawal jam 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari melibatkan enam orang anggota polis dan lapan kakitangan MPK diketuai Ketua Bahagian Siasatan JSJK, ASP Zaizul Rizal Zakaria dan Penolong
Pegawai Kesihatan Persekitaran (Unit Iklan), Zamri Sarmini.

Katanya, sebanyak lebih kurang 480 iklan haram Ah Long berjaya diturunkan dalam operasi tersebut.

“Antara lokasi yang terlibat Kuantan Garden, Air Putih, Alor Akar, Indera Mahkota dan Bukit Setongkol.

“Sebelum ini, kita juga telah menurunkan sebanyak 1,466 iklan haram tersebut meliputi Air Putih, Indera Mahkota dan Kubang Buaya.

“Usaha membasmi iklan-iklan haram ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan diperluas sehingga pemberi pinjaman menghentikan kegiatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmani juga menasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang terutamanya Ah Long sama ada untuk tujuan perniagaan atau kesempitan.

“Meminjam daripada Ah Long hanya akan mengundang padah apabila peminjam dikenakan bayaran faedah yang terlalu tinggi dan kegagalan menjelaskan hutang bukan sahaja menyusahkan diri sendiri sebaliknya
membabitkan keluarga, anak dan isteri.

“Sebaik-baiknya peminjam perlu membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen sama ada untuk memulakan perniagaan atau sebagainya,” katanya.