Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Dugaan hamil 9 bulan



Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mior Azlan Kamarulbaid
izawan@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: “Jika terpaksa menahan lapar atau kereta ditarik bank, saya masih mampu bertahan tetapi apa yang saya bimbangkan ialah kehilangan tempat berteduh ketika saya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa,” kata seorang ibu yang sarat hamil sembilan bulan yang kini hidup terumbang-ambing selepas ditinggalkan suami sejak awal tahun lalu.

Bagi menyara kehidupannya, Rosnah Miasin, 30, yang menjaga seorang anak lelaki berusia tiga tahun terpaksa bekerja sebagai jurujual produk kesihatan dan bergerak dari satu restoran ke restoran lain untuk mencari pelanggan.


“Sebelum ini saya bekerja di sebuah spa tetapi disebabkan hamil, saya terpaksa berhenti dan sejak Ogos lalu menjadi jurujual. Saya dibayar komisen RM5 dan perlu menjual sekurang-kurangnya 20 unit mesin urut mini.

“Saya terpaksa melakukan kerja ini demi anak, jika mahu meminta bantuan keluarga di Sabah, macam-macam syarat mereka kenakan kerana masih sukar menerima saya selepas memeluk Islam,” katanya yang ditemui di kediamannya di Gombak, semalam.


Menurutnya, disebabkan pendapatan tidak menentu, dia gagal membayar sewa rumah sebanyak RM500 selain bil elektrik dan air manakala pinjaman kereta tertunggak.


“Tuan rumah meminta saya membayar tunggakan sewa, tetapi saya tidak mempunyai wang. Saya dijangka bersalin hujung bulan ini sedangkan inilah satu-satunya tempat saya dan anak berteduh,” katanya. Rosnah berkata, dia dan suami yang berasal dari Kudat berhijrah ke Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu untuk mencari rezeki dan tinggal berasingan selepas lelaki itu bekerja di Sepang manakala dia di Kuala Lumpur.

“Sejak awal tahun lalu dia semakin jarang pulang dan apabila saya mahu tinggal bersamanya di Nilai, pelbagai alasan diberikan. Disebabkan itu kami bergaduh menyebabkan suami tidak lagi pulang, malah panggilan telefon serta SMS tidak berjawab,” katanya yang hanya mempunyai surat perakuan memeluk Islam dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah ketika berusia 18 tahun. Menurutnya, dia memeluk Islam ketika di sekolah, tetapi merahsiakan sehinggalah berkahwin manakala majlis itu pula dilakukan secara tradisional di kampungnya di kawasan pedalaman di Kudat selain tidak pernah didaftarkan.


Sementara itu, menerusi satu pertemuan yang diatur Harian Metro antara Rosnah dengan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berjanji akan membantu wanita itu termasuk mendaftarkan perkahwinannya sehingga dia selamat melahirkan anak yang dijangka hujung bulan ini.

No comments:

Post a Comment