Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Dua suspek dikenal pasti




         
KOTA BHARU: Dua suspek yang dipercayai terbabit meragut dan menetak seorang wanita, Rohairani Abdullah@Ibrahim, 36, menyebabkan pergelangan tangan kiri mangsa hampir putus di Jalan Che Su, di sini, Rabu lalu, sudah dikenal pasti dan kini diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek lelaki itu berusia lingkungan 20-an dan polis mengharapkan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan mereka.


“Usaha mengesan mereka giat dijalankan dan kita mengharapkan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa di Kampung Kota, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kelvin Yeap. Harian Metro Khamis lalu melaporkan, Rohairani yang bekerja sebagai pembantu klinik swasta baru keluar dari kereta yang diletakkan berhampiran tempat kejadian dan berjalan bersendirian ke kedai untuk membeli kain tudung sebelum diragut dua lelaki di Jalan Che Su, di sini.


Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang dan pengsan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, akibat kecederaan parah dialami.


Mazlan berkata, selepas mengadakan ‘Ops Sayang’ membabitkan pegawai dan anggota polis wanita yang memberi nasihat berkaitan jenayah ragut membabitkan 20 kawasan termasuk sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian, pihaknya bercadang menyediakan pondok bit polis di kawasan mangsa diragut.

No comments:

Post a Comment