Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Dua rakan didenda RM3,000



7 September 2012
AYER KEROH – Dua rakan didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah mencuri hampir lima ribu kilogram minyak milik Petronas Sdn Bhd, tahun lalu.

Hukuman itu diperintahkan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap Cheoh Boon Liong, 45, dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan Khasrool Arsad, 27, dari Batang Tiga.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama mencuri 4,710 kilogram minyak milik Petronas Sdn Bhd bernilai RM14,400 tanpa kebenaran.

Mereka melakukan kesalahan itu di Lube Blending Plant, Loji Penapisan Petronas, Sungai Udang kira-kira jam 10 pagi pada 3 Ogos 2011.

Bagi kesalahan itu, Boon Liong dan Khasrool didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hazri Hanafi dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan minyak itu masih belum dikeluarkan dari lokasi dan dipulangkan kepada Petronas serta tiada kerugian dicatatkan.

“Tertuduh pertama (Boon Liong) sukar mendapatkan pekerjaan selepas kejadian, manakala tertuduh kedua (Khasrool) baru berkahwin dan isteri hamil enam bulan serta baru bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

No comments:

Post a Comment