Dua polis nafi terima rasuah
Yang Ghazali (jaket hitam) dan Vathumalai (jaket biru) menutup muka dengan jaket sebaik keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Dua anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki pada 13 dan 14 Mei lalu.

Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 56, dan Lans Koperal M Vathumalai, 50, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.20 pagi di Loo Yee Fish Spa and Restoran di Jalan Madras di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa meminta suapan daripada Tan Seong Soon, 41, bagi melepaskan dua warga China iaitu Fan Qiyan dan Wei Youmei yang dikatakan tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di negara ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama memperolehi RM400 daripada Seong Soon bagi pihak sepupunya, Tan Seong Hooi pada jam 12.10 malam, 14 Mei 2012 di tempat yang sama sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap dua pekerja terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang diwakili peguam, Jannu Babjan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Salwa Ja’afar.

Siti Salwa membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd Firdaus Abdullah.