Dua kereta dipecah samseng
Norzazlia menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan oleh dua lelaki tidak dikenali.
SUNGAI BULOH – Dua lelaki bersenjatakan parang bertindak ganas apabila memecahkan cermin dua kereta yang diletakkan di kawasan perindustrian SB Jaya 1, petang kelmarin.

Saksi kejadian, Abdullah Adam, 30, berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal tiba-tiba bertindak memecahkan dua kereta milik pekerja yang diletakkan di parkir hadapan pejabat menggunakan parang.

“Saya berlari keluar dan menjerit ke arah suspek supaya menghentikan perbuatannya namun mereka tidak endahkan dan terus memecahkan cermin kereta milik pekerja pejabat ini,” katanya.

Menurutnya, sehari sebelum itu pejabatnya menerima panggilan ugutan daripada individu yang tidak dikenali mengarah semua pekerja syarikat berkenaan berhenti kerja jika mahu selamat.

Sementara itu pemilik kereta yang dipecahkan, Norzazlia Mohd Zaid, 36, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian hampir RM1,000.

“Ini kejadian pertama berlaku, sebelum ini ada beberapa samseng pernah naik ke pejabat dan mengugut kami selepas gagal menemui pengarah syarikat ini,” katanya.

Difahamkan, kejadian yang berlaku ada kaitan dengan persaingan perniagaan.

Susulan itu, tiga laporan dibuat di Balai Polis Kuang berhubung kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut akan dijalankan.