KUALA LUMPUR - Dua individu dipercayai mangsa samun ditemui mati berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata Leong Kian Sheong, 37, seorang peniaga, dan rakan wanitanya Vivien Wong, 20, ditemui terbaring dalam sebuah bilik pada kira-kira 10.30 malam, dalam keadaan berpakaian lengkap.

"Pemeriksaan mendapati ada kesan selongkar di rumah itu. Dipercayai jam tangan, barang kemas dan wang tunai telah disamun.   

"Turut dilarikan dua kenderaan jenis BMW dan Toyota Vellfire," kata Ab Rashid melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.

Mangsa dipercayai dibunuh pagi semalam namun kejadian itu hanya disedari malam tadi. Difahamkan mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan, dan senjata turut ditemui di kediaman itu.

Polis telah merakam keterangan beberapa kenalan rapat mangsa termasuk seorang pengawal peribadi Leong. - Bernama