Dua beradik disangka hilang
Arbusamshimah (kiri) menceritakan kisah kedua anaknya yang tidak pulang malam kelmarin kepada Ismail (dua, kanan) dan Wan Salman (kanan).
Dua beradik disangka hilang
Penduduk kampung turut menanti kepulangan dua beradik yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing, kelmarin.
JENGKA 14 - Dua beradik yang disangka hilang ketika keluar memancing di sungai berdekatan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas gerakan mencari secara besar-besaran dilakukan pihak polis bersama bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk di hutan berhampiran, di sini, semalam.

Mohd Azman Bidin, 35, dan adiknya, Muhamad Juhari Bidin, 16, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing pada jam 2 petang, kelmarin, menimbulkan kebimbangan kepada kedua ibu bapa mereka, Bidin Md Sam, 58, dan Arbusamshimah Awang, 56.

Muhamad Juhari berkata, dia tidak menyangka pemergian mereka berdua telah menimbulkan kekecohan di kampungnya.

“Saya dan abang pergi memancing seperti biasa, namun sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakak supaya menghubungi saya bagi memaklumkan kami akan bermalam di hutan kerana saya kehabisan kredit, namun tiada maklum balas.

“Pada asalnya kami merancang untuk pulang, tetapi disebabkan hari sudah gelap, kami mengambil keputusan bermalam di hutan,” katanya yang mengakui tidak mengalami sebarang gangguan dan tidak sesat ketika berada di hutan.

Muhamad Juhari berkata, ketika berada di hutan, mereka memasang unggun api dan merancang pulang ke rumah setelah hari cerah.

Sementara itu, Bidin berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan dua anaknya yang disangka hilang itu, dia  meminta bantuan orang kampung termasuk menghubungi polis dan bomba bagi mencari mereka.

“Kebiasaannya selepas mereka ke hutan untuk memancing, mereka akan pulang pada sebelah petang sekitar jam 7 atau 8 malam.

“Namun disebabkan mereka tidak pulang malam tadi (kelmarin), ditambah pula dengan keadaan hujan lebat dan ribut, membuatkan kami tidak lena tidur memikirkan keselamatan mereka,” katanya.

Isterinya, Arbusamshimah berkata, dia bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kepada anak-anaknya sepanjang mereka berada di dalam hutan.

“Pernah terjadi seorang penduduk kampung di sini ditemui mati di dalam hutan oleh keluarganya.

“Saya bimbang perkara sama berlaku kepada anak saya. Sebab itu kami ambil keputusan minta bantuan orang kampung cari anak kami,” katanya yang bersyukur kedua anaknya pulang dalam keadaan selamat.

Kedua beradik itu dilaporkan berada di dalam hutan selama 20 jam tanpa makanan dan minuman  sebelum ditemui penduduk pada jam 10 pagi, semalam.

Kira-kira 90 orang yang dibahagikan kepada tiga kumpulan menyertai gerakan mencari kedua beradik itu jam 9 pagi, semalam.

Turut mengikuti perkembangan dua beradik itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.