IPOH - Seorang warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 253 keping wang kertas rupee India palsu.

Zulfiqar Ali, 46, dari Lahore, Pakistan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Punjabi di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalid dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Zulfiqar didakwa memiliki 253 keping wang kertas rupee India, setiap satu dengan denominasi 1,000 yang disahkan palsu,

Kejadian berlaku berhampiran kedai serbaneka 7-Eleven Jalan Datuk Onn Jaafar, Pekan Baru, di sini, pada jam 5 petang, 23 Ogos lalu.

Dalam pertuduhan itu turut menyatakan tertuduh berniat untuk menggunakannya dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

Zulfiqar yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Tertuduh menyatakan tidak tahu wang yang dibawanya adalah palsu sehinggalah pada hari dia ditangkap polis.

Selain itu, dia yang mempunyai tiga anak kecil serta isteri yang tidak bekerja di Pakistan memohon agar diberi peluang untuk membayar denda kerana dia adalah penyumbang utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan itu, Rabiatul Adawiyyah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap.

Sementara itu, rakannya, Hassan Zarrad, 32, yang berasal dari Beirut, Lubnan pula menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki wang palsu dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Jurubahasa mahkamah membacakan kedua-dua pertuduhan itu di dalam Bahasa Inggeris.

Namun tertuduh menggeleng kepala tidak faham akan pertuduhan yang dibacakan. Tertuduh memohon supaya jurubahasa Arab tampil untuk menterjemahkan pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Hassan didakwa memiliki 149 keping wang kertas rupee India, setiap satu dengan denominasi 1,000 yang disahkan palsu di CIMB Bank, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pada jam 5 petang, 23 Ogos lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dia didakwa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan dia warga asing.

Rabiatul Adawiyyah menetapkan 5 Oktober ini sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Arab untuk memudahkan perjalanan kes.

Pendakwaan untuk kedua- dua tertuduh dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim.