KUALA KLAWANG - Seramai 10 lelaki tempatan yang sedang berjudi di premis judi siber di daerah ini berjaya ditahan dalam lima serbuan berasingan sepanjang Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof berkata, sebanyak empat serbuan dilakukan di  Simpang Pertang dan selebihnya di Simpang Durian.

“Kesemua mereka yang ditahan adalah orang tempatan. Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas smereka.

“Selain tangkapan, kita turut merampas 98 set komputer yang digunakan untuk tujuan judi siber ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Setapa berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Pusat Hiburan kerana berniaga tanpa lesen.

Selain itu, kes itu turut tertakluk di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4B (a), pesalah boleh dihukum denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun.

“Manakala hukuman di bawah Seksyen 6 boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan ke atas premis judi tanpa lesen dan akan bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk membanteras aktiviti berkenaan.

"Kawasan Simpang Pertang dan Simpang Durian menjadi tumpuan kegiatan judi siber ekoran permintaan yang sentiasa ada," katanya.