Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Bomoh nikah batin didakwa merogol



MUHAMMAD SOMBHAH ketika ditahan anggota penguat kuasa JHEAINS di Kampung LBJ, Labu, Seremban pada 17 September lalu.


SEREMBAN - Selepas diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana didakwa mengamalkan nikah batin dan memperdaya wanita untuk tujuan seks, seorang bomoh dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan jenayah merogol seorang wanita pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Sombhah Abdullah, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Sombhah didakwa merogol seorang wanita berusia 50 tahun di sebuah rumah di Kampung LBJ dekat sini pada pukul 3 petang hingga pukul 3.30 petang 28 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan dan Haris Salleh.
Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Namun Hanif merayu supaya wang ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menyara keluarga.
Kunasundary kemudian menetapkan tertuduh dibebaskan dengan wang ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kunasundary juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai pada setiap bulan selain dilarang berjumpa atau berkomunikasi dengan mangsa serta keluarga mangsa.
Tertuduh tidak membayar wang ikat jamin dan dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Kosmo! pada 18 September lalu melaporkan seorang bomoh yang didakwa memperdaya pesakitnya untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan telah terperangkap apabila dia ditahan oleh JHEAINS di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu.
Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki itu didakwa turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.
Sehari selepas ditangkap, lelaki itu dilepas tanpa dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM15,000 bagi empat kes berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Bon jaminan tersebut dikenakan terhadap Muhammad Sombhah sebelum dia bakal didakwa pada 9 Oktober depan atas empat tuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan.
Tiga tuduhan berkenaan iaitu mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 bagi kesalahan mencela agama Islam, mempermain ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.
Satu lagi kesalahan disiasat mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan iaitu memperdaya serta melarikan wanita untuk tujuan seks.

No comments:

Post a Comment