Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Berperingkat keluar RM1.5j



Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, diberitahu bahawa melalui penyata akaun bank simpanan milik ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar) jelas menunjukkan beliau mengeluarkan RM1.5 juta melalui cek dan tunai dalam masa beberapa hari pada penghujung tahun lalu.

Perkara itu disahkan Penolong Pengurus Maybank, Maslina Mustafar, 40, yang turut memaklumkan bahawa kira-kira RM300,000 daripada jumlah itu digunakan untuk membuat pembayaran bagi pembelian kereta di FA Automobiles (Ipoh) Sdn Bhd.
Maslina memberi keterangan di dalam prosiding perbicaraan Shamsubahrin, 46, yang didakwa menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Dalam keterangannya di hadapan Hakim Rozilah Salleh, Maslina memberitahu melalui penyata itu menunjukkan tertuduh membuat dua cek masing-masing berjumlah RM167,042 dan RM138,042 bagi penghantaran wang kepada syarikat automobil itu pada 6 Disember 2011.


Maslina juga mengesahkan bahawa pada tarikh yang sama Shamsubahrin membuat pengeluaran tunai sebanyak RM200,000 dan RM180,000 daripada akaun simpanannya.


Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aslam Charles Fernandez, Maslina memberitahu Shamsubahrin ada membuat pemindahan wang sebanyak RM100,000 dan RM700,000 daripada akaun simpanan Maybank ke dalam akaun Bank RHB.

Ketika menjawab soalan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, jumlah wang di dalam akaun simpanan Shamsubahrin sebelum cek dimasukkan hanyalah RM2.31 pada 21 November 2011.

Berdasarkan penyata akaun Maybank itu, jumlah wang yang ada pada 31 Disember 2011 ialah sebanyak RM1,153.48.

Sementara itu seorang lagi saksi, Penolong Pengurus Maybank, Mohd Hatta Hassan, mengesahkan sejumlah RM50,000 dimasukkan ke dalam akaun Suzana Abdul Aziz iaitu isteri kepada Shamsubahrin pada 25 November 2011.

Selain itu, Mohd Hatta juga mengesahkan bahawa Shamsubahrin memindahkan wang berjumlah RM200,000 daripada akaunnya kepada akaun Suzana pada 6 Disember 2011.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Sallehudin Saidin, Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Afifuddin Mohd Hafifi.

Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan perkhidmatan rundingan dan nasihat hingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya di restoran di Bukit Tunku, di sini, jam 6 petang, 20 November lalu.

Dia juga didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakannya hingga mendorong menyerahkan cek RM1.755 juta di kawasan Solaris, Mont Kiara, di sini, antara 25 November dan 6 Disember lalu.

Shamsubahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 5 November depan.

No comments:

Post a Comment