Bawa anak lepas gian dadah
Abu (dalam bulatan) antara 39 yang ditahan di kawasan belukar Kampung Baru, Lesong.
POKOK SENA - Seorang bapa yang  bakal menyambut kelahiran anak kelima Disember ini sanggup membawa anak keempatnya bersama melepaskan gian di kawasan belukar di Kampung Baru, Lesong.

Lelaki berusia 34 tahun yang mahu dikenali dengan panggilan Abu berkata, dia membawa anak lelaki berusia empat tahun itu disebabkan tidak ada orang yang mahu mengasuh kanak-kanak itu di rumah.

Menurutnya, isterinya bertugas sebagai guru agama manakala dia pula hanya memperoleh pendapatan dengan bekerja sendiri.

Katanya lagi, dia mula mengambil dadah kira-kira dua tahun lalu dan sering ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan yang dijual dengan harga sekitar RM10 ke RM50 bergantung kepada saiz penyedut minuman.

“Harga yang dijual berdasarkan saiz, kalau RM50 saiznya lebih kurang pemetik api dan harga yang ditawarkan di sini lebih murah banding tempat lain.

“Kebiasaannya saya akan membeli menggunakan pendapatan yang saya peroleh daripada hasil menoreh getah,” katanya ketika ditemui sewaktu ditahan bersama 39 penagih lain, kelmarin.

Difahamkan, penagih yang ditahan memasuki kawasan belukar berhampiran kawasan sawah itu menggunakan motosikal masing-masing kira-kira jam 7 pagi.

Abu yang menghidap penyakit lelah mendakwa, dia tidak boleh membuang tabiat mengambil dadah itu walaupun baru sahaja keluar daripada wad tiga hari lalu.

Menurutnya, biarpun sering ditegur oleh isteri namun, dia masih meneruskan perbuatan itu dengan mendapatkan bekalan dari kawasan sekitar.

“Isteri tahu saya mengambil dadah, tetapi dia pun sudah letih untuk menasihatkan saya kerana saya tidak menghiraukannya.

“Lagipun saya tidak pernah minta wang dengan isteri untuk membeli dadah, saya gunakan pendapatan saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kesemua 39 penagih yang ditahan di kawasan yang dikenali dengan ‘port ayam’ kelmarin ditahan reman selama 12 hari.