Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku
Munisamy menunjukkan kesan kecederaan mata kanan anaknya.
RAUB – Seorang bapa kesal apabila anaknya cedera selepas dipercayai dipukul seorang guru menggunakan siku ketika waktu persekolahan.

R Munisamy, 49, berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi 7 September lalu ketika anaknya, M Ravivarma, 14, bersama 300 pelajar lain dalam dewan sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, anaknya memaklumkan dia hanya cuba meminjam buku daripada seorang kawan, kemudiannya datang seorang guru lelaki dalam keadaan marah.

“Guru berkenaan bertindak menyiku mata kanan anak saya mengakibatkannya pengsan a lebih kurang setengah jam.

“Apabila dia tersedar, dia berasa sakit di bahagian mata, pening dan muntah-muntah,” katanya.

Munisamy berkata, dia hanya mengetahui insiden itu pada jam 1 petang hari yang sama, sedangkan kejadian berlaku pada sebelah pagi.

Katanya, dia bergegas membawa anaknya ke Hospital Raub bagi mendapatkan rawatan dan menerima cuti sakit selama satu hari.

“Pada 9 September pula, pihak hospital mengeluarkan surat untuk membawa anak saya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultah Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pula.

“Pada 10 September pula isteri saya, M Parvathy, 48, dipanggil pihak sekolah untuk membincangkan perkara ini tetapi hasilnya tidak memuaskan kerana mereka mendakwa anak saya sering terlibat dengan masalah disiplin,” katanya.

Dia berkata, sebelum kejadian mengakibatkan kecederaan mata Ravivarma, pihak sekolah tidak pernah menimbulkan sebarang isu berkaitan disiplin dan salah laku anaknya itu, sebaliknya memaklumkan bahawa Ravivarma adalah pelajar yang baik.

“Kami tidak puas hati dengan penjelasan diberikan pihak sekolah sedangkan pada hari kejadian anak saya tidak melakukan sebarang kesalahan selain cuba meminjam buku daripada seorang kawan.

“Kami juga menunggu sehingga 20 September agar pihak sekolah melakukan tindakan yang wajar dan adil kerana kesan insiden itu mengakibatkan mata kanan anak saya mengalami kecederaan,” kata Munisamy.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India Daerah Raub, K Temil Selvam berkata, isu itu dipandang serius kerana mengakibatkan pelajar berkenaan trauma untuk ke sekolah lagi.