Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Baling batu kejut rakan tidur




         
JOHOR BAHRU: “Sebaik terkejut apabila mendapati rumah dihuni dua rakan setugas dijilat api, saya terus membaling batu ke arah rumah itu untuk mengejutkan mereka daripada tidur.

“Syukur kerana mereka berjaya menyelamatkan diri, namun dalam keadaan tergesa-gesa, saya melihat arwah pengsan selepas mengalihkan keretanya sebelum disahkan meninggal dunia.” Demikian kata rakan serumah Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor, Ahmad Hassan, 54, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rumah bersebelahannya di Taman Pelangi di sini, dibaling dengan bom petrol, kira-kira jam 4 pagi semalam.


Pegawai kastam yang enggan dikenali itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya dan Ahmad sama-sama keluar dari rumah sebelum dia mengalihkan kereta jenis Honda Civic miliknya mengelakkan daripada terbakar.


“Sejurus kemudian saya melihat dia terbaring di tepi keretanya dalam keadaan tidak bergerak. Petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.


Sepupu mangsa yang mahu dikenali sebagai Pouzi, 44, pula berkata, selama ini dia hanya mengetahui arwah menghidap kencing manis tetapi tidak mengetahui arwah juga menghidap sakit jantung.

“Kali terakhir kami bertemu ketika Ramadan lalu dan ketika itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.


Sementara itu, Pengarah KDRM Johor, Datuk Ramli Johari berkata, Ahmad adalah pegawai yang berdedikasi dan berpengalaman berikutan sudah berkhidmat selama 30 tahun.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan masih bekerja seperti biasa kelmarin. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan pemergiannya satu kehilangan besar kepada KDRM,” katanya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 4.11 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

No comments:

Post a Comment