Search This Blog

Tuesday, September 4, 2012

Balasan tumbuk adik enggan pulang hadiah kahwin




         
KUALA TERENGGANU: Seorang tukang besi tergamak mencederakan adiknya dengan menumbuk dahi, badan dan dada selepas mangsa enggan memulangkan semula periuk yang pernah dihadiahkan ketika perkahwinan mangsa 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Mustafa Said, 40, dari Kampung Sungai Ikan,Tepoh, di sini, terbalas apabila dia yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM500 atau seminggu penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan. Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Mustafa mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap adiknya, Fadilah, 35. Terdahulu, Mustafa dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung ahli keluarganya termasuk dua anak dan seorang ibu selain mendakwa sudah insaf atas perbuatannya.


Mengikut pertuduhan, Mustafa didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Fadilah di halaman rumah di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, jam 7 malam pada 29 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mustafa tidak diwakili peguam.


Mengikut fakta kes, Mustafa mencederakan adiknya dengan menumbuk dahi, badan dan dada adiknya selepas mangsa tidak mengendahkan permintaannya yang meminta adiknya itu memulangkan semula periuk yang dihadiahkannya kepada mangsa ketika perkahwinan mangsa kira-kira 15 tahun lalu.


Selepas mencederakan adiknya, tertuduh meninggalkan rumah berkenaan dan mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit.

No comments:

Post a Comment