Search This Blog

Monday, September 24, 2012

Anak jutawan Britain diugut



LONDON 23 Sept. - Anak perempuan jutawan Britain, Bernie Ecclestone, Tamara mengakui kehidupannya tidak tenang setelah menjadi mangsa ugut sebanyak dua kali.
Kali pertama pada April lalu, apabila dia menjadi mangsa sepasang kekasih dari London yang meminta sebanyak 200,000 pound (RM989,000) dengan mengugut untuk mendedahkan kisah cintanya dan kali kedua, daripada seorang lelaki yang mendakwa sebuah kumpulan samseng merancang untuk menculiknya.
"Menjadi mangsa penculikan adalah perkara yang paling menakutkan saya. Saya rasa penat dan sakit secara fizikal. Bayangkan bila seseorang memberitahu hidup saya dalam bahaya dan tindak tanduk saya juga sedang diperhatikan," katanya.
Segala-galanya bermula apabila lelaki tersebut, Martin Peckham, 41 (gambar), yang menyamar sebagai Marcus Black, menelefon bapanya dan meminta wang tunai sebanyak 200,000 pound.
Pemanggil tersebut memberitahu bahawa sebuah kumpulan samseng dari Asia Barat ingin menculik Tamara dan berkata, dia mampu mematahkan cubaan itu sekiranya Ecclestone menyerahkan wang tunai tersebut kepadanya.
Selepas menerima panggilan itu, lelaki keempat terkaya di Britain itu terus menghubungi anak perempuannya yang ketika itu sedang menikmati makan malam bersama teman lelakinya, Omar Khyami.
Jutawan Formula 1 itu mengambil keputusan untuk tidak menghubungi polis dan juga pengawal keselamatan peribadinya kerana lebih suka menyelesaikan sendiri masalah itu.
Bagaimanapun akhirnya mereka membuat keputusan melaporkannya kepada polis selepas ancaman tersebut berlarutan sehingga hari keempat sebelum lelaki tersebut berjaya diberkas.
Peckham, mengaku bersalah atas rancangan ugutan tersebut dan kini dipenjarakan di Penjara Southwark Crown.
Duda itu berkata, dia melakukan ugutan demikian selepas kehilangan wang deposit berjumlah 8,500 pound (RM32,000) pada satu majlis perkahwinan dan mengaku mendapat idea jahat itu selepas mengetahui mengenai cubaan ugutan pertama melibatkan Tamara. - AGENSI

No comments:

Post a Comment