Ahli perniagaan maut ditetak
Unit forensik melakukan siasatan selepas penemuan mayat dua ahli perniagaan, malam kelmarin.
SERDANG – Dua ahli perniagaan maut selepas ditetak di tangan dan leher dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Leong Kian Sheong, 37, dan rakan wanitanya, Vivien Wong, 20, ditemui berlumuran darah di dalam sebuah bilik yang dijadikan pejabat.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui oleh rakan yang sebelum itu gagal menghubungi telefon bimbit mereka.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai ditetak dengan parang.

Rumah tersebut juga berselerak selain beberapa barang berharga milik mangsa dilarikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dua kenderaan mewah milik mangsa, jenis BMW dan Toyota Vellfire dilarikan bersama jam tangan, barang kemas serta wang tunai.

"Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah, dengan kesan tetak di tangan dan leher. Sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh penjenayah juga ditemui.

"Siasatan mendapati kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang penjenayah," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, semalam.

Beliau berkata, rumah itu dipasang kamera litar tertutup (CCTV), tetapi tidak berfungsi sewaktu kejadian tersebut berlaku.

"Kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan kes bunuh lain dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis juga sedang menyiasat hubungan dua ahli perniagaan tersebut. "Maklumat itu boleh membantu siasatan, terutama dalam mengenal pasti suspek dan motif sebenar kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan