Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

4 sahabat dihukum penjara



 
Sibu: Empat sahabat, termasuk seorang wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah menculik seorang suri rumah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan fakta kes dan tidak mengenakan hukuman sebat terhadap tertuduh dengan alasan tidak terdapat unsur penghinaan awam dalam fakta kes itu. Tertuduh, Tan Teng Chiew, 28; Wee Nyet Lung, 26; Lu King Wen, 23, dan tertuduh wanita, Ting Khai Sin, 20, tenang ketika keputusan dibacakan.
Terlepas hukuman mati


Terdahulu, Jen Kie dalam penghakimannya berkata, tertuduh juga bernasib baik terlepas hukuman mati kerana beliau mendapati tiada keganasan dilakukan terhadap mangsa yang dibebaskan pada hari sama dia diculik.

Empat tertuduh terbabit diwakili David Kuok, Roger Lau, Wee Wei Kiat dan Wong Sing Nang, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet.

Mengikut fakta kes, pada jam 9.30 pagi 17 Julai 2010, keempat-empat mereka sepakat untuk menculik suri rumah berusia 47 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM53,400.
Sengaja langgar kereta


Ketika melakukan jenayah itu, mereka dengan sengaja melanggar kereta dipandu mangsa di depan sebuah sekolah bagi menunjukkan ia seolah-olah kemalangan.

Mereka kemudiannya bersetuju menanggung kos membaiki kereta mangsa dengan tertuduh wanita menawarkan diri untuk memandu kereta itu ke bengkel. Mangsa pula diminta masuk ke dalam kereta mereka.

Sebaik masuk ke dalam kereta tertuduh, mereka mencekup muka wanita itu dengan guni dan memandu ke lokasi lain sebelum meminta wang tebusan.

Apabila mangsa memberitahu dia tidak mempunyai jumlah wang yang diminta, tertuduh mengugut dengan pisau dan memaksanya menyuruh ahli keluarga memasukkan wang ke dalam akaun bank salah seorang tertuduh.

Mangsa kemudiannya dibebaskan pada jam 7 malam hari yang sama, selepas ahli keluarganya membayar wang yang diminta empat tertuduh.

No comments:

Post a Comment