4 penyamun remaja ditahan
Barangan dijumpai dalam van digunakan suspek.
4 penyamun remaja ditahan
Wan Mohd Samsudin (empat, kiri) menunjukkan pisau digunakan suspek semasa melakukan samun di Bentong, semalam.
BENTONG – Dua pekerja kedai serbaneka 24 jam di pusat perniagaan Mutiara Gemilang, dekat sini, dikejutkan dengan kehadiran tiga pelanggan bersenjatakan pisau kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, tiga suspek remaja itu masuk ke dalam kedai dan seorang daripada mereka mengacukan pisau ke arah pekerja.

Menurutnya, mereka kemudiannya mengambil sejumlah wang dianggarkan bernilai RM200 dan sebanyak 95 kotak rokok pelbagai jenis sebelum melarikan diri.

“Semasa ketiga-tiga suspek masuk ke dalam kedai, seorang lagi menunggu di dalam sebuah van. Selepas itu, mereka berempat melarikan diri menghala ke Raub,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya menghubungi polis Raub memaklumkan perkara itu untuk meminta bantuan.

Empat remaja ditahan

Sementara itu di RAUB, empat remaja berusia 16 hingga 18 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes samun bersenjata di Bentong itu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, pihaknya dimaklumkan polis Bentong terdapat satu kes samun dilakukan empat remaja yang cuba melarikan diri dengan menaiki van pada jam 3.30 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya kemudian melaksanakan Ops Tutup dengan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan unit MPV sekitar daerah terbabit.

“Anggota unit MPV menemui suspek bersama van terbabit ber-hampiran Loji Air Sungai Bilut, dekat Jalan Tras, sekali gus membuktikan suspek cuba melarikan diri melalui jalan lama Bentong-Raub.

“Kita juga berjaya menemui barang samun termasuk pelbagai jenis rokok bernilai RM690, wang tunai berjumlah RM225, sehelai baju T dan pisau dipercayai digunakan bagi tujuan samun berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

Pernah berlaku kes sama

Wan Mohd Samsudin berkata, kes sama pernah berlaku 28 Ogos lalu pada waktu sama dengan kejadian semalam.

Katanya, bagi kes pertama, kerugian dianggarkan bernilai RM800 dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan menggunakan senjata.

“Siasatan mendapati tiga daripada empat remaja terbabit mempunyai rekod jenayah apabila  pernah ditahan atas kesalahan jenayah pecah rumah di Kampung Simpang Kalang dan Perumahan Kakitangan Kerajaan Simpang Kalang.

“Sepatutnya mereka dijatuhkan hukuman bagi kes pecah rumah pada hari ini (semalam), tetapi kini ditahan melakukan jenayah samun bersenjata pula,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dipercayai baru pertama kali mengikuti tiga suspek terbabit.

Katanya, semua suspek merupakan anak tempatan dan masing-masing tidak lagi bersekolah.

“Hasil siasatan mendapati van terbabit adalah milik bapa seorang daripada mereka dan semua suspek tidak memiliki lesen memandu.

"Secara amnya, mereka bukan sahaja tidak serik ditahan polis, malah turut meningkatkan lagi modus operandi daripada jenayah pecah rumah kepada samun bersenjata,” katanya.

Cenderung ajak rakan baru

Wan Mohd Samsudin berkata, suspek juga cenderung mengajak rakan baru untuk menyertai mereka melakukan jenayah seterusnya.

Katanya, polis akan sentiasa berusaha mengekang jenayah, namun dalam masa sama pengusaha perniagaan juga perlu bersama-sama memainkan peranan untuk meningkatkan tahap keselamatan kawasan masing-masing.

“Kita sarankan ibu bapa memantau aktiviti anak masing-masing terutama remaja yang tidak lagi bersekolah supaya mereka tidak terbabit dengan sebarang kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Bentong.