Search This Blog

Saturday, September 22, 2012

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah
Salah seorang daripada tiga ahli sindiket dadah didakwa
di Mahkamah Majistret, semalam dengan 26 pertuduhan
kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat 453.5 kilogram.

MUAR – Dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam  didakwa dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 453.5 kilogram, di sebuah pangsapuri dekat Jalan Junid pada 9 September lalu.

Kesemua pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah di hadapan Majistret, Suzana Mokhtar.

Tertuduh, Lim Kih Chong, 31, dari Yong Peng, Johor berdepan 10 pertuduhan, manakala rakannya, Chye Mei Chuan, 42, dari Taman Indah, dekat sini, dan Norizah Arpah, 24, dari Klang, Selangor, masing-masing dituduh melakukan lapan kesalahan membabitkan Seksyen 39B

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kih Chong menghadapi 10 pertuduhan termasuk dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah disyaki syabu seberat 1,015 gram (g) dan pil ekstasy dengan berat kasar 645g pada kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah unit rumah di tingkat satu, Blok B, Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid, dekat sini.

Pertuduhan lain membabitkan dengan niat bersama-sama Norizah dan Mei Chuan mengedar pil ekstasi seberat kira-kira 309,030g dan erimin 5 seberat 1,500g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama pada kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa secara bersama mengedar syabu seberat kira-kira 22,459g, pil ekstasi seberat 77,740g serta erimin 5 seberat  7,250g di sebuah unit rumah di tingkat dua pangsapuri sama.

Tiga tuduhan terakhir membabitkan secara bersama mengedar 10,611g syabu, heroin (21,745g) serta candu seberat 1,560g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama.

Nor Hafizah menetapkan 9 November depan  untuk mendapatkan keputusan laporan daripada Jabatan Kimia bagi semua pertuduhan dan tidak membenarkan sebarang jaminan buat tertuduh.

Pada 9 September lalu, polis Johor berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di negeri itu bernilai RM68 juta dengan menjadikan tiga rumah di Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid sebagai makmal memproses dadah.

No comments:

Post a Comment