KUALA LUMPUR - Kegembiraan 20 pelajar yang sedang membuat persiapan untuk jamuan Aidilfitri di sebuah sekolah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini, bertukar tragedi apabila alat berbeku meletup menyebabkan mereka melecur.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, tiga pelajar melecur teruk.
Kejadian berlaku apabila 20 pelajar lelaki sekolah itu yang berusia 16 dan 17 tahun, dikatakan sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan Aidilfitri di sekolah mereka sebelum alat barbeku yang digunakan meletup.
Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata, dia dan rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangai seorang guru lelaki sekolah mereka yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan 'thinner' bagi mempercepatkan api dinyalakan.
"Saya lihat kali pertama 'thinner' dicurahkan ia menyambar dengan kuat dan kami amat terkejut sebelum guru kami mencurahkan untuk kali kedua dan berlaku satu letupan kuat.
"Letupan kuat itu menyebabkan tiga pelajar termasuk saya melecur teruk. Guru terbabit juga melecur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tun Razak di sini.
Tiga pelajar yang melecur teruk itu telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini oleh guru-guru di sekolah berkenaan.
Mohd Hidayat melecur teruk di kaki serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan bersama-sama dengan guru terbabit, manakala tiga rakannya di masukkan ke hospital tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mulia, Mohd Hanim Tahir berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak sekolah yang tidak melakukan pemantauan rapi semasa aktiviti barbeku dilakukan.
"Saya cukup kesal dengan tindakan pihak sekolah yang lepas tangan selepas kejadian itu dan tiada permohonan maaf dilakukan pihak sekolah setakat ini. Jadi saya minta pihak sekolah perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang menimpa anak murid mereka," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abd Rahim Hamzah mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan kes itu sedang dijalankan. - Bernama