Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

12 lori bawa lebih muatan disita



Lori-lori yang disyaki membawa muatan berlebihan ditahan untuk diperiksa oleh penguat kuasa SPAD dalam operasi bersama polis trafik dan MPKj di sekitar Batu 9, Hulu Langat semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM
HULU LANGAT 13 Sept. - Sikap tamak segelintir pemandu lori di sini untuk meraih keuntungan lebih dengan membawa lebih muatan memakan diri apabila mereka ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah kuari di Batu 9, di sini hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, sebanyak 12 pemandu lori ditahan kerana membawa lebih muatan tanah, pasir dan batu malah sehingga tiga kali ganda daripada had dibenarkan.
Turut terlibat dalam operasi bermula pukul 6 pagi itu adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Bahagian Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Kesemua 12 buah lori itu dengan jumlah muatan sebanyak 70 tan telah disita.
Pengurus Besar Bahagian Penguat Kuasa SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, lori-lori berkenaan datang dari operator pengeluaran kuari yang berpusat di Batu 9 di sini dan kesemuanya dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghantar batu-batu ke tapak-tapak pembinaan.
"Bagaimanapun, kesemua lori berkenaan dikesan membawa lebih muatan daripada sepatutnya dan kita terpaksa menyita kenderaan itu kerana boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
"Sebenarnya, tidak kurang daripada 15 operator pengeluaran kuari yang berpusat di Hulu Langat telah ditemui pihak SPAD untuk diberi nasihat dan amaran agar tidak mengulangi masalah itu, namun kerana mencari keuntungan mereka tetap berdegil.
"Oleh itu, kami tiada pilihan selain mengenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 57 bagi setiap kesalahan membawa muatan lebih kerana perbuatan sebegitu masih berleluasa di sini," katanya ketika ditemui di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Semenyih di sini hari ini.
Katanya, tahun ini, SPAD menahan lebih 450 buah lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan kebanyakan mereka dibawa ke mahkamah dengan denda yang tidak boleh dikompaun.
Mengulas lanjut, jelasnya, SPAD telah menggunakan alat timbang berat tanpa wayar dengan setiap lori akan terus ditimbang di situ dan jika melakukan kesalahan, denda akan dikenakan serta-merta.
Dalam perkembangan sama, seorang pemandu lori kuari yang enggan dikenali memberitahu, ekoran rampasan muatan kuari itu dia serta rakan-rakannya bakal menanggung kerugian sehingga dua bulan untuk balik modal.
"Setiap satu tan muatan kami dibayar RM8, tetapi jika mengikut peraturan yang hanya membenarkan 30 tan sahaja, kami akan menanggung kerugian. Ini kerana kami perlu membawa muatan bernilai sekurang-kurangnya RM20,000 sebulan bagi membolehkan kami membayar lori yang di sewa-beli ini.
"Pendapatan kami pula hanya sekitar RM2,000 sebulan dan jika kami ditahan seperti ini tentu sekali kami rugi besar dan kami sekeluarga perlu ikat perut untuk mendapat kembali modal. Itu tidak termasuk lagi dengan denda mahkamah," katanya.
Katanya, pihak syarikat kuari sememangnya tidak membenarkan pemandu lori membawa muatan lebih dan perkara itu dilakukan dengan inisiatif sendiri untuk sedikit keuntungan.

No comments:

Post a Comment