Search This Blog

Sunday, August 12, 2012

Warung segera ladang kelapa sawit diserbu



12 Ogos 2012
KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berjaya membongkar rahsia peniaga ‘warung segera’ di ladang kelapa sawit di Felda Chini, Pekan dan menahan dua lelaki yang sedang membeli makanan di warung berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek berkata, warung segera itu dipercayai dibuka pada minggu pertama Ramadan untuk bekalan kaki ponteng puasa di ladang itu.

Menurutnya, penguat kuasa Jaip turut menyoal siasat seorang peniaga lelaki dan wanita yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

“Mereka memulakan operasi menjelang tengah hari dengan menjual nasi bersama lauk pauk serta air kepada pekerja ladang yang tidak berpuasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, Jaip merobohkan warung berkenaan dan mereka yang ditahan diberi nasihat dan notis.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM500 atau 3 bulan penjara atau kedua-duanya iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982,” katanya.

Selain itu katanya, hasil maklumat orang ramai, Jaip turut menyerbu beberapa kaki ponteng puasa di sebuah Felda di Jerantut.

Ahmad Raffli berkata, ketika serbuan dibuat, mereka yang sedang menjamu selera secara berkumpulan bertempiaran lari menyelamatkan diri dan meninggalkan pinggan nasi.

“Serbuan berikutan maklumat orang ramai berkenaan kaki ponteng puasa yang menjadikan kawasan ladang sebagai ‘port’ mereka menjamu selera ketika Ramadan,” katanya.

No comments:

Post a Comment