Wartawan diugut tepi jalan
Gambar suspek menaiki motosikal yang sempat dirakamkan mangsa.
IPOH - Wartawan China Press, Poon Wei Kuen, 31 berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandu ditahan seorang lelaki menaiki motosikal, yang telah mengugut serta meminta wang daripadanya dengan alasan telah dilanggar oleh Wei Kuen di Jalan Panglima Bukit Gantang, Rabu lalu.

Wei Kun memaklumkan, kejadian itu berlaku pada jam 6 petang, dan dia dalam perjalanan dari Jalan Tun Abdul Razak ke Bulatan Bahagia pada ketika itu sebelum mendengar dentuman kuat di belakang kereta yang dipandunya.

Wei Kun berkata, dia sudah melihat seorang lelaki menaiki motosikal di belakang kenderaannya waktu itu namun terpaksa meneruskan perjalanan kerana keadaan lalu lintas sesak, dan ketika sampai di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, lelaki berkenaan telah bertindak menghalang perjalanannya.

"Lelaki itu turun dari motosikal dan datang ke arah kereta saya lalu mendakwa dia telah dilanggar lari oleh saya, menyebabkan tangan kirinya cedera.

"Pelik dengan tindakan lelaki itu, saya mengajaknya ke balai polis berhampiran untuk menyelesaikan masalah itu, namun dia enggan. Lelaki itu mencari alasan dan menyuruh saya meminta maaf atas insiden berkenaan," katanya.

Wei Kun menambah, selepas dia meminta maaf, lelaki terbabit masih menunggu seperti mengharap sesuatu dan kerana bimbang, Wei Kun memaklumkan lelaki terbabit yang dia akan membuat laporan polis.

Lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru gelap, dengan nombor pendaftaran kenderaan AGU 8246.

"Saya juga sempat mengambil gambar kelibat lelaki itu dan kerana bimbang keselamatan saya  serta orang lain turut terancam dengan kejadian seperti ini, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam (kelmarin)," katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias menasihatkan orang ramai yang memandu berseorangan, terutama wanita agar lebih berhati-hati serta jangan mudah terpedaya dengan taktik penjenayah.

"Jangan panik bila berdepan dengan situasi seperti itu dan cuba dapatkan butiran kenderaan seperti jenis, warna, nombor plat, serta keadaan fizikal suspek. Kita syorkan mangsa membuat laporan polis supaya kami dapat mengesan penjenayah" katanya.