Wanita Nigeria ugut bunuh diri halang kekasih ditahan Imigresen
Sebahagian warga asing yang ditahan di Bandar Kinrara 9, Puchong awal pagi tadi.
PUCHONG – Demi kerana cinta seorang wanita warga Nigeria sanggup mengugut untuk menikam dirinya apabila kekasihnya diberkas oleh Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Bandar Kinrara 9 di sini, awal pagi tadi.

Pada awalnya, wanita berkenaan dikatakan memeluk kekasihnya, namun bertindak meluru ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong sayur apabila diberitahu pasanganya perlu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Wanita terbabit kemudian mengacukan pisau ke perutnya, namun cubaan bunuh diri itu gagal apabila anggota penguat kuasa bertindak pantas merampas senjata tajam itu.

Pasangan wanita berkenaan adalah antara  49 warga asing yang ditahan dalam dua operasi berasingan di Bandar Kinrara dan Taman Putra Perdana Puchong.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Abd Malik Bujang berkata, 116 warga asing membabitkan pelbagai negara termasuk Nigeria, Tanzania dan Myanmar diperiksa dari rumah ke rumah.

Serbuan mengejut dilakukan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung gangguan oleh warga asing terbabit.

Menurutnya, penduduk tempatan mendakwa kebanyakkan warga asing membuat bunyi bising selain mendakwa wujudnya kegiatan jenayah komersial dan juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah dihuni warga asing dan kebanyakkan yang ditahan didapati tiada dokumen sah selain tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

“Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963,” katanya.