Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Wanita lagak pegawai JKM ditahan lagi

KOTA BHARU: Tiga wanita termasuk seorang janda yang pernah ditangkap kerana menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), untuk melakukan penipuan beberapa tahun lalu, sekali lagi ditangkap atas kesalahan sama, semalam.
Janda berusia 41 tahun itu ditahan bersama dua lagi wanita berusia 50 tahun oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, pada jam 10 pagi dalam serbuan di rumah masing-masing di sekitar Wakaf Bharu, Tumpat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, semua suspek ditahan hasil maklumat dan intipan dilakukan pihaknya sebelum ini.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, semua suspek melakukan penipuan dengan mencari mangsa di kalangan warga emas.

“Mereka menyamar sebagai pegawai JKM Kota Bharu dan mempengaruhi mangsa, kononnya menyediakan khidmat bantuan memiliki rumah.

“Bagaimanapun, mangsa perlu membayar wang pendahuluan bergantung kepada kemampuan sebelum berjanji bertemu semula,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurutnya, mangsa yang menyerahkan wang pendahuluan hanya menyedari ditipu selepas suspek menghilangkan diri.

“Soal siasat mendapati seorang suspek yang juga janda berusia 41 tahun pernah ditangkap beberapa tahun lalu kerana melakukan kesalahan sama semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment