Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Wanita didakwa bunuh anak



T. PARIMALA menutup muka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak, semalam. - BERNAMA
IPOH 29 Ogos - Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan wanita itu yang berusia empat tahun tujuh bulan, pada pertengahan bulan ini.
T. Parimala, 33, dan S. Kupertasan, 27, didakwa secara bersama membunuh J. Pavitra antara pukul 8 malam, 7 Ogos lalu dan pukul 5.20 petang, 14 Ogos lalu di rumah No. 152, Lorong Tawas 9, Kampung Tawas di sini.
Pavitra meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia berhampiran Kampung Tawas pada 14 Ogos lalu.
Laporan bedah siasat menunjukkan kematian kanak-kanak itu berpunca daripada pendarahan dalaman terutama di kepala.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh itu hanya mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
Parimala yang memakai baju lokap oren dan Kupertasan memakai baju lokap ungu sebelum itu dilihat gelisah dan saling memandang antara satu sama lain.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Kavitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Shamshol Azwa menetapkan sebutan kes pada 1 November depan untuk mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Terdahulu, Kupertasan yang bekerja di sebuah syarikat keranda memohon supaya dia dipindahkan ke Penjara Alor Setar kerana semua ahli keluarganya tinggal di sana.
Bagaimanapun, mahkamah meminta permohonan itu dikemukakan kepada pihak Penjara Tapah iaitu penjara yang menempatkannya ketika ini.
Mengikut laporan akhbar, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera berdasarkan laporan bedah siasat yang menunjukkan terdapat kesan kecederaan lama dan baru di tubuhnya.

No comments:

Post a Comment