Search This Blog

Sunday, August 26, 2012

Tiga rumah musnah


Tiga rumah musnah
Orang ramai membantu mengeluarkan peralatan dan perkakas dari rumah mangsa.
TAIPING - Letupan kuat menjadi penyelamat nyawa dua keluarga, apabila mereka sempat melarikan diri daripada kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Jalan Elizabeth, Pokok Assam, di sini, semalam.

Bunyi letupan yang datang dari salah sebuah rumah terbabit serta percikan api turut menarik perhatian beberapa penduduk berhampiran yang kemudiannya membantu mangsa kebakaran menyelamatkan beberapa barangan berharga.

Seorang daripada mangsa terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 pagi dan sebuah daripada rumah terbabit dikatakan tiada penghuni ketika itu.

"Sebaik sahaja mendengar letupan, saya segera mencari anak saudara saya untuk menyelamatkan mereka dan diri sendiri. Saya sempat capai telefon bimbit ketika itu.

"Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri dan semua perkakas elektrik yang baru dibeli, termasuk televisyen musnah dalam kebakaran," katanya.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya serta jiran terdekat selamat dalam kejadian berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Ismarudin Mohamad Nor, 29 berkata, kelibat orang ramai yang berkerumun di hadapan rumahnya selepas mendengar bunyi letupan dan melihat percikan api membolehkan dia menyedari kejadian berkenaan serta menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia memang tidak menyedari api sudah marah di bahagian belakang dan dapur rumahnya pada ketika itu serta bersyukur kerana sempat keluar menyelamatkan diri.

"Saya juga bernasib baik kerana orang ramai turut membantu untuk menyelamatkan beberapa barang berharga. Semua ahli keluarga saya terselamat," katanya.

Katanya, semasa kejadian, dia berada di rumah berkenaan bersama seorang bapa saudara dan neneknya yang berjaya ditarik keluar oleh orang ramai semasa api sedang marak.

"Saat paling mencemaskan adalah ketika api menjulang tinggi, ditambah keadaan angin kencang. Nasib baik pasukan bomba bertindak pantas untuk mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, seramai 13 anggota bersama enam jentera termasuk tiga jentera bomba bantuan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja panggilan berhubung kejadian diterima.

Beliau memaklumkan, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit membolehkan operasi memadam tamat sepenuhnya sekitar jam 12.52 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

No comments:

Post a Comment