Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Tertembak di hutan

SEREMBAN: Tanda tanya dua lelaki warga Indonesia terbaring pengsan berlumuran darah dengan kesan tembakan pada badan mereka dalam kejadian di tepi jalan di Kampung Geylang, Jelebu dekat sini, Jumaat lalu, terjawab dengan tertangkapnya empat lelaki di sini, dan di Tampin, kelmarin. Lebih mengejutkan siasatan polis mendapati empat suspek berkenaan cuba menyembunyikan perkara sebenar berhubung kejadian mangsa sebenarnya tertembak ketika mereka memburu di hutan simpan, di Kota Tinggi, Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dua daripada empat suspek didapati tertembak dua mangsa berusia 25 dan 27 tahun itu ketika mereka memburu di hutan.

“Berikutan itu, mereka (suspek) membawa mangsa ke Negeri Sembilan untuk mengelak kejadian itu terbongkar.
“Namun, kecekapan polis berjaya mengesan kejadian sebenar dan kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor khususnya daerah Kota Tinggi memandangkan ia berlaku di kawasan berkenaan.

“Dua mangsa yang sudah stabil dirawat di hospital, ditahan atas kesalahan imigresen iaitu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan jam 9 malam kelmarin ialah lelaki tempatan berusia 46 tahun dari Seremban yang menghantar dua mangsa itu ke sebuah hospital swasta sebelum mereka dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Hamdan berkata, soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan tiga lagi suspek iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 tahun hingga 50-an di Seremban dan Tampin.

“Polis merampas dua senapang patah serta 12 butir peluru dan enam butir peluru raifal 7.62 milimeter.
“Terpulang kepada IPK Johor sama ada kekalkan siasatan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh atau Seksyen 37 Akta Senjata Api,” katanya.

Sebelum ini, seorang daripada suspek yang mendakwa bekerja sebagai pembanci kayu balak, menyatakan menemui dua lelaki terbaring berlumuran darah di tepi jalan dengan masing-masing mempunyai 24 dan lapan kesan tembakan pada badan di Kampung Geylang, Jelebu, dekat sini, Jumaat lalu.

Pembanci kayu balak yang sebenarnya antara suspek membawa mangsa hospital di sini, untuk rawatan.

No comments:

Post a Comment