Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Tersembam dihentam ribut

DUNGUN: Saya tersembam dan pitam beberapa minit sebaik penutup tangki air singgah di kepala saya,” kata Sharifah Salbiah Embong, 20, menceritakan detik cemas kejadian ribut yang melanda Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Bukit Besi, di sini, petang kelmarin.
Ribut dan hujan lebat selama lima minit itu menyebabkan atap lima kedai di situ rosak dan beberapa kedai milik Pejabat Daerah Dungun yang disewa peniaga turut rosak dalam kejadian jam 4.30 petang.

Selain itu, beberapa bangsal burger, kerusi dan meja milik peniaga di situ diterbangkan angin ke atas jalan manakala beberapa pokok tumbang serta menghempap khemah peniaga.

Sharifah Salbiah berkata, gerai kakaknya Sharifah Sabariah, 25, menjual barangan permainan kanak-kanak dan kasut di bawah tiga khemah di kawasan lapang di situ rosak teruk akibat ribut.

“Saya dan kakak ketika itu mengemas barangan jualan apabila secara tiba-tiba angin kencang dan saya keluar khemah sebelum ternampak pusaran angin itu semakin menghampiri tempat berniaga,” katanya.

Menurutnya, dia dan kakaknya memegang kuat tiang khemah agar tidak terbang namun tidak berdaya sebelum dia meminta kakaknya itu bertindak menyelamatkan diri ke dalam sebuah kedai makan berhampiran.


“Ketika berlari masuk ke kedai itu secara tiba-tiba kepala saya terkena tudung tangki air yang berada di situ selepas diterbangkan ribut dan keadaan itu menyebabkan saya pitam serta tersembam di dalam kedai,” katanya.

Sharifah Salbiah berkata, berikutan kejadian itu dia menganggarkan kerugian lebih daripada RM10,000.

Seorang pengunjung, Norakaswati Abdullah, 57, berkata, dia bersama empat anaknya dalam perjalanan dari rumahnya di Besut untuk ke Kuantan singgah di hentian terbabit sebaik kereta Proton Wira dipandunya rosak.

“Saya berhenti di situ sementara menunggu mekanik membaiki kereta dan tiba-tiba pusaran angin melanda di kawasan itu menyebabkan sebuah khemah peniaga diterbangkan angin terkena kereta,” katanya.

Katanya, nasib baik dia empat beranak sempat berlindung di sebuah bangunan di situ biarpun lampu depan keretanya pecah termasuk beberapa bahagian keretanya kemek dirempuh khemah terbabit.

“Pusaran angin itu amat menakutkan, ia bagaikan dalam filem. Sebaik selesai kereta dibaiki saya tak mahu lagi ke Kuantan sebaliknya akan meneruskan perjalanan balik ke Besut,” katanya.

Peniaga sebuah kedai makan, Zeniwati Talib, 51, dan suaminya Mohd Bali Muda, 58, berkata, dia sedih sebaik mendapati kedai makan yang baru disambung ruang makan musnah.

“Saya ketika itu dalam perjalanan pulang membayar sewa kedai di Pejabat Daerah Dungun dan menerima panggilan telefon daripada anak yang melaporkan kedai rosak teruk sebelum saya bergegas ke situ,” katanya.

No comments:

Post a Comment