Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Terkejut ‘beg’ menangis

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai menjual akhbar tidak menyangka beg yang dialihkannya dari tepi pintu kedai ke atas bangku perhentian bas berisi bayi perempuan sehinggalah dia menyedari tangisan dari dalam beg berkenaan kira-kira 10 minit selepas itu.
Bayi yang cukup sifat itu dibalut dengan tuala berwarna biru dan hanya memakai lampin itu diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di hadapan pintu kedai kedai menjual akhbar di Jalan Sultan Omar di sini, semalam.

Rozlan Shahril Hamzani, 31, berkata ketika hendak memulakan perniagaan pada jam 6 pagi, dia terdengar rengekan seperti bayi menangis, tetapi tidak menghiraukannya apabila bunyi tangisan itu hilang tidak lama kemudian.

“Ketika hendak membuka kedai, saya ternampak satu beg di depan pintu dan terus mengalih dengan meletakkannya di atas bangku.

“Saya kemudian memulakan kerja dengan menyusun akhbar di perhentian bas sebelah kedai itu sebelum sekali lagi terdengar bunyi tangisan bayi.

“Ketika itu baru saya cuba memeriksa beg itu yang tidak tertutup rapat dan terkejut apabila nampak ada bayi dalam beg itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, selepas itu dia segera meminta seorang pelanggannya membuat laporan polis sebelum beberapa anggota tiba beberapa minit kemudian dan membawanya ke hospital.

Dia yang menetap di Jalan Tekukur, di sini berkata, bayi yang ditemui cukup sifat itu dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya yang bersih dan tali pusat yang dipotong dan ia pengalaman pertama sejak majikannya membuka kedai menjual akhbar di situ 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian disedari seorang pembantu kedai menjual akhbar apabila melihat sebuah beg berada di hadapan kedai tempat dia bekerja.

“Pengadu menyedari terdapat bayi di dalamnya apabila terdengar tangisan dan ketika diperiksa mendapati di dalam beg ditemui itu terdapat seorang bayi perempuan.

“Keadaan bayi itu ketika ditemui memakai lampin pakai buang dan dibaluti tuala biru sebelum pengadu memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Menurutnya, bayi yang belum dikenal pasti keturunannya itu kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment