Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Tangkapan Zunar sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memutuskan penangkapan dan penahanan kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaqur atau lebih dikenali sebagai Zunar, oleh polis dua tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera berkata, rampasan 66 daripada bukunya dan lukisan menyalahi undang-undang.

Beliau memerintahkan buku dan lukisan itu dikembalikan kepada kartunis berkenaan.
Vazeer Alam berkata, pihak berkuasa gagal mengemukakan bukti menyokong rampasan buku itu dan menambah undang-undang tidak membenarkan bahan itu disimpan untuk tempoh lama.

“Rampasan berterusan buku-buku itu menjejaskan hak kehidupan plaintif,” katanya.

Vazeer Alam juga membenarkan ganti rugi khas yang dituntut plaintif berhubung rampasan buku-buku itu dan perkara itu akan dinilai oleh pendaftar.
Dalam samannya yang difailkan pada 15 Jun tahun lalu, Zunar dan syarikat miliknya, Sepakat Efektif Sdn Bhd menamakan Asisten Superintendan (ASP) A Arikrishna dan ASP Marina Hashim sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zunar mendakwa pada 24 September 2010, jam 4 petang sepasukan polis yang diketuai Arikrishna menyerbu pejabatnya dan bertindak menangkap beliau serta merampas 66 buah buku bertajuk ‘Cartoon-0-phobia’ dan sebuah lukisan kartun.
Katanya, selepas tangkapan itu dia dibawa ke beberapa balai polis di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum lewat malam direman sehari dan terpaksa bermalam di Balai Polis KLIA atas dakwaan menghasut.

Zunar mempertikai asas penangkapan dan penahanannya, rampasan terhadap karyanya dan menyatakan bahawa tindakan itu adalah salah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta berniat menggagalkan pelancaran bukunya.

Berikutan itu, Zunar menuntut ganti rugi am termasuk ganti rugi teladan dan teruk, perintah buku dan lukisan dirampas dikembalikan kepadanya atau ganti rugi khas lain.

Zulkiflee diwakili peguam N Surendran manakala Peguam Kanan Persekutuan Nor Hisham Ismail mewakili defendan. - Bernama

No comments:

Post a Comment