Taktik tipu polis tak menjadi
Anggota polis memeriksa kandungan daun ketum yang berjaya dirampas dalam satu pemeriksaan, di sini.
Taktik tipu polis tak menjadi
"Salah seorang daripada mereka memberi alasan kononnya but kereta tidak boleh dibuka kerana mengalami kerosakan.” Abdul Manab
GERIK – Helah dua lelaki mengatakan bonet kereta rosak bagi mengelak dikesan membawa daun ketum tidak menjadi apabila kelibat mereka berjaya dihidu polis dalam satu pemeriksaan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 37 dan 28 tahun ditahan di kilometer 4.2 Jalan Gerik-Kupang bersama sembilan guni yang dipenuhi daun ketum seberat 70 kilogram.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, anggota polis bertugas meminta dua lelaki berkenaan membuka but kereta Honda Civic yang dinaiki mereka.
Bagaimanapun menurutnya, salah seorang daripada mereka memberi alasan kononnya but kereta tidak boleh dibuka kerana mengalami kerosakan.
“Curiga dengan tindakan lelaki itu, anggota kita bertindak membuka sendiri bonet kenderaan sebelum mendapati terdapat tujuh guni mengandungi daun ketum diletakkan di dalam but berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, dua lagi guni daun ketum ditemui berada di tempat duduk belakang,” katanya.
Abdul Manab berkata, hasil pemeriksaan awal yang dibuat, dipercayai semua bekalan daun ketum itu diambil dari sebuah kawasan di Kedah sebelum di bawa ke Kelantan untuk diproses dan dijual.
Katanya, dua lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara empat tahun atau denda.
Mengulas lanjut, Abdul Manab berkata, Jalan Gerik-Kupang menjadi laluan utama pembekal daun ketum yang dibawa masuk dari luar negeri ini untuk tujuan pasaran.