Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Tahan pelajar

BALING: Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah kebangsaan di Sik, ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Charok Gorok, Asam Jawa, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri kereta dan meleraikan komponen untuk dijual kepada pelanggan.
Suspek ditahan sepasukan anggota polis cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dalam Ops Lejang di kawasan Kupang selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, pelajar terbabit dipercayai sedang meleraikan kenderaan di sebuah rumah tidak bernombor dengan seorang lagi lelaki dipercayai bapa saudaranya berusia 28 tahun.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan pelajar berkenaan dan bapa saudaranya cuba melarikan diri di belakang rumah, bagaimanapun pelajar itu berjaya ditahan tetapi bapa saudaranya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan sebuah kereta Proton Wira berwarna putih ditemui di tepi rumah itu. Polis turut menemui sebuah enjin di dalam but dan beberapa komponen kereta dipercayai dilerai daripada kereta curi.

“Polis menemui rangka sebuah kereta dipercayai kereta curi dilerai semua komponen untuk dijual kepada pelanggan manakala enjin disumbat dibut kereta Proton Wira juga enjinnya dicuri dan dalam proses untuk dijual,” katanya di sini, semalam.
Katanya, hasil siasatan awal ke atas pelajar sekolah berkenaan, dia datang dari Sik semata-mata untuk menjalankan kegiatan meleraikan komponen kereta sebelum menjual kepada pelanggan.

Mat Daud berkata, kereta berkenaan dipercayai hilang di Kupang dan dengan tertangkapnya pelajar berkenaan, dapat menyelesaikan kes kecurian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kereta dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

“Polis sedang memburu bapa saudara pelajar berkenaan bagi membantu beberapa kes kecurian kereta di daerah ini.

“Mereka memang licik kerana melerai dengan cepat sesebuah kereta yang dicuri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa malah nombor casis juga turut dipotong,” katanya.

No comments:

Post a Comment