Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Syarikat pertama kena pertuduhan




         
KOTA TINGGI: Sebuah syarikat perniagaan di Sungai Rengit, Penggerang di sini, menjadi organisasi pertama didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) sejak ia diperkenalkan tahun lalu.

Syarikat Let Seng Enterprises Sdn Bhd dan pengarah syarikatnya, Ko Chye Teck, 45, didakwa mengikut akta itu di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, semalam. Mengikut pertuduhan pertama, syarikat Let Seng Enterprises didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang (pengurupan wang) tanpa lesen sah di premis beralamat 72, Jalan Besar, Sungai Rengit, Pengerang pada jam 2.25 petang, 13 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Ko sebagai pengarah syarikat didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi dan masa sama.


Dia dituduh mengikut Seksyen 4 (1) dibaca bersama Seksyen 80 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.


Ko bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan itu.

Hakim Salawati Djambari, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Riduan Baba dan Mohd Haziq Razali, manakala tertuduh diwakili peguam R K Menon.

No comments:

Post a Comment