Suami isteri nyaris rentung
Seorang anggota unit Plus Ronda melihat keadaan kereta Honda Odyssey yang terbakar.
BUKIT BERUNTUNG - Sepasang suami isteri nyaris rentung apabila kereta Honda Odyssey dinaiki terbabit dalam kemalangan dan terbakar di Kilometer 426 arah Kuala Lumpur berdekatan susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung di sini petang semalam.

Saksi kejadian, Lye Soon Wen berkata, kedua-dua mangsa yang cedera ringan sempat keluar daripada kereta dan menyelamatkan diri.

“Kereta mangsa dipercayai dipandu laju dan jalan yang basah mengakibatkan kereta terbabas ke longkang dan melanggar tebing jalan.

“Kesan rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.15 petang dan pada ketika itu hujan lebat.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia lingkungan awal 40-an itu telah dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Tinjauan mendapati laluan mula sesak berikutan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian itu.

Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Vios remuk di bahagian belakang dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 428.3.

Kejadian kedua berkenaan hanya dua kilometer dari lokasi kemalangan awal itu.

Menurut Soon Wen, keadaan pemandunya tidak diketahui namun dipercayai selamat berdasarkan keadaan kereta mangsa.