Setengah jam tahan sakit
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
SUNGAI CHOH, Hulu Selangor - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih setengah jam sebelum dapat diselamatkan akibat tersepit di tempat duduk pemandu setelah lori muatan itik beku dipandu melanggar belakang lori pasir di persimpangan Kilang Perodua di sini petang semalam.

Bagaimanapun mangsa, V Ravichandran, 46, hanya mengalami cedera di kedua belah kaki dan tangan kanan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Menurut seorang daripada dua kelindannya, Gunasegaran, 26, kejadian itu berpunca daripada kerosakan brek ketika hendak berhenti di lampu isyarat di persimpangan tersebut.

“Brek rosak. Kami tak sempat elak dan terus langgar dari belakang lori,” katanya yang mengalami luka di mulut akibat hentakan.

Jelasnya, mereka dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang setelah menurunkan muatan itik beku di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian mereka telah memperlahankan kenderaan namun kerosakan brek menyebabkan pelanggaran dengan lori muatan pasir yang berhenti di hadapan.

Gunasegaran berkata, akibat pelanggaran itu, bahagian depan lori dinaiki remuk dan Ravichandran tersepit di tempat duduk pemandu manakala dia dan seorang lagi kelindan, Ramesh, 22, hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Noor Azhar berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan lori pasir terbabit untuk menarik bahagian hadapan lori yang remuk bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bahagian hadapan lori yang remuk telah menghimpit kaki mangsa.

"Kita terpaksa menggunakan khidmat lori pasir terbabit untuk menarik bahagian tersebut bagi memudahkan usaha mengeluarkan mangsa,” katanya.