Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

‘Saudara pengantin’ kebas barang kemas RM20,000

IPOH: Seorang wanita yang menyamar sebagai saudara pengantin, menyelinap dan melarikan jongkong emas serta pelbagai barang berharga ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di Kampung Sungai Chapah, Manjoi, di sini.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Ahad lalu, wanita berusia 20-an itu menyusup masuk ke rumah bapa pengantin yang juga penceramah bebas, Ustaz Hashim Sulaiman dengan berlakon kononnya mahu menunaikan solat dan ke tandas.

Ustaz Hashim yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Zikir Munajat Darul Ridzuan (Kuzidar) mendakwa wanita itu melarikan satu jongkong emas, barangan kemas serta wang tunai yang nilai keseluruhan hampir RM20,000 milik anak lelakinya yang berkahwin.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika majlis perkahwinan sibuk berlangsung di rumahnya dan wanita itu yang menyamar sebagai ahli keluarga, kelihatan mesra dengan semua tetamu.

“Dia masuk ke dalam rumah dengan alasan mahu membuang air kecil. Saya percaya kesempatan itu diambilnya untuk melarikan beg berisi barangan berharga itu,” katanya.

Menurut Ustaz Hashim, dia mula menyedari kehilangan barangan kemas itu selepas bank menghubungi anak lelakinya memaklumkan seorang wanita cuba membuat bayaran pembelian tiga telefon bimbit menggunakan kad kredit anaknya setengah jam kemudian.


Dia bersama anak lelakinya bergegas ke kedai telefon bimbit itu sebelum dimaklumkan pemilik premis mengenai wanita berkenaan.

“Kami dimaklumkan wanita itu gagal membuat bayaran bagi telefon bimbit itu selepas diminta menyerahkan MyKad untuk proses pembayaran.

“Wanita itu kemudian beredar dari premis selepas tindakannya menggunakan kad kredit curi itu disedari pemilik premis itu,” katanya.

Dia kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan mengenal pasti wanita berkenaan menghadiri majlis perkahwinan anaknya.

“Wanita itu bukan saudara kami. Seorang cucu mendakwa melihat dia memasuki bilik menempatkan barangan kemas dengan alasan mahu menunaikan solat,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap wanita itu dapat menghubunginya segera bagi menyelesaikan perkara itu dengan cara baik.

Ustaz Hashim berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang malah sudah menyerahkan gambar wanita itu kepada polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dia juga membuat solat hajat bagi melembutkan hati wanita berkenaan seterusnya membuka pintu hatinya untuk menghubunginya bagi menyelesaikan perkara itu.

“Berdasarkan gambar yang dirakam, wanita berkenaan bertubuh sedikit gempal serta memakai baju kurung dan tudung biru.

“Hubungi saya segera, kita boleh bincang cara baik. Malah, saya akan tarik balik laporan polis jika dia serahkan barangan yang dilarikan. Saya juga berharap sesiapa yang mengenali wanita berkenaan supaya menghubungi saya di talian 013-5288647 atau 05-5288045,” katanya.

No comments:

Post a Comment