Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

RM150,000 ganti mata

KOTA BHARU: “Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan mahkamah selepas melalui proses perbicaraan sejak dua tahun lalu,” kata pemuda yang buta mata kanannya, Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 20, selepas Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan tuntutan ganti rugi terhadap kecederaannya berjumlah RM150,000, semalam.
Muhammad Huzaifah ditemani isterinya, Ibnati Solihatul Nuri Mat Taib, 22, yang baru dinikahi awal Jun lalu kelihatan tersenyum selepas menerima keputusan berkenaan.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut mengarahkan semua tiga defendan membayar kos berjumlah RM20,000.
Bagaimanapun, beliau menolak tuntutan ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk apabila plaintif gagal membuktikan pihak defendan berniat jahat untuk mencederakannya.

Beliau dalam penghakimannya menjelaskan terdapat kecuaian yang dilakukan oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) apabila mahkamah tidak melihat ada keperluan untuk anggota terbabit melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Katanya, ia memandangkan tidak ada kumpulan perusuh yang dilihat berada di tengah-tengah antara kedudukan gerai plaintif dan anggota FRU terbabit.
“Jadi, mahkamah tidak dapat menerima alasan defendan untuk menjaga ketenteraman pada malam kejadian kerana tidak ada perusuh di situ.

“Disebabkan itu, mahkamah mendapati tembakan itu tidak perlu dilepaskan untuk menyuraikan keadaan,” hujahnya.
Beliau berkata, beberapa saksi plaintif yang memberi keterangan berjaya mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mahkamah juga tidak mempertikaikan kesahihan rakaman video oleh seorang saksi plaintif yang diambil dari astaka utama Stadium Sultan Muhammad IV.

Sebelum ini, Muhammad Huzaifah memfailkan tuntutan saman berjumlah RM10 juta terhadap tiga defendan akibat kecederaan parah di mata kanannya yang didakwa terkena tembakan peluru gas pemedih mata.

Kejadian yang berlaku selepas perlawanan Piala FA pada April 2009 antara pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu menyebabkan mata kanan pemuda itu buta sehingga terpaksa menggunakan mata kanan palsu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi khas dengan menamakan Pegawai Medan, Asisten Superintendan M Sathasivam (defendan pertama), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia (defendan ketiga).

No comments:

Post a Comment