Risiko 151 premis internet jika terbabit judi
Mohd Jasmani bersama pegawainya menunjukkan lambakan set komputer yang dirampas.
KUANTAN -  Polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengenal pasti 151 premis pusat internet yang bakal berdepan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana disyaki terlibat menjalankan kegiatan perjudian internet.

Setakat ini sebanyak 70 premis di sekitar Kuantan sudah dikenakan tindakan dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff  berkata, beberapa siri kejayaan pihaknya menumpaskan kegiatan di sini tidak bermakna tugas mereka sudah berakhir sebaliknya usaha menjejaki dan menyerbu premis judi internet yang berdegil akan tetap diteruskan.

Menurutnya, operasi menggempur premis yang disyaki terlibat dengan kegiatan itu dijalankan setiap hari dan rampasan demi rampasan set komputer terus dilakukan.

“Kita menghadapi masalah untuk menempatkan set komputer yang dirampas memandangkan stor sedia ada tidak mampu lagi untuk menampung jumlah rampasan besar setiap kali serbuan dijalankan.

“Set komputer yang dirampas kini terpaksa diletakkan di merata tempat," katanya dalam satu sidang media di sini, petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, lambakan komputer itu menunjukkan pihaknya sentiasa mengambil tindakan  tegas dan berkesan dalam usaha membanteras gejala itu daripada terus berleluasa  bukan mendiamkan diri seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 288 operasi dan serbuan dijalankan melibatkan polis serta beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Hasil operasi tersebut, kita berjaya menahan 1,269 individu dan merampas 3,032 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan ini akan diperangi habis-habisan malah mekanisme bersama turut dipersetujui beberapa agensi termasuk Polis, MPK, SPRM, SKMM dan TNB untuk membanteras kegiatan merosakkan masyarakat itu.

“Kita mengalu-alukan maklumat awam berhubung sebarang kegiatan jenayah termasuk perjudian internet di daerah ini.

“Maklumat tepat dan cepat memudahkan pihak polis bertindak dan segala rungutan masyarakat berhubung kegiatan itu dapat diatasi segera,” katanya.