Ribut, hujan batu rosakkan enam rumah
Syed Hamid menunjukkan bumbung rumah ibunya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut, Rabu lalu.
SUNGAI SIPUT - Kurang 10 hari umat Islam di negara ini bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, ketenangan petang di Kampung Tok Bayas, dekat sini, bertukar cemas apabila enam rumah termasuk sebuah bangunan ternakan burung walit rosak dipukul ribut, Rabu lalu.

Saksi kejadian, Mat Jaman Mat Noor,  29 menceritakan, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang dan dia berada di rumah ketika mendengar dentuman kuat dari arah rumah bertentangan dan segera keluar untuk mencari punca bunyi berkenaan.

Mat Jaman berkata, dia terkejut melihat atap rumah berterbangan dengan beberapa pokok di sekeliling kawasan berkenaan tumbang selepas hujan renyai-renyai disusuli hujan batu selama beberapa minit.

"Bagaimanapun, hujan kembali lebat selepas itu diikuti angin bertiup kencang menyebabkan beberapa bumbung rumah termasuk bangunan ternakan burung walit beterbangan hingga ke tengah jalan," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid Syed Abdullah, 53 memaklumkan, rumah ibunya turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku sepuluh minit sebelum dilanda angin kencang bersama hujan lebat selama sejam.

Menurutnya, kejadian berkenaan hanya diketahui selepas jiran terdekat menghubunginya dan ibunya tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur untuk melawat adiknya.

"Saya anggarkan kerugian yang dialami mencecah RM3,000 dan ini merupakan insiden kedua yang berlaku di kampung ini. Kali pertama adalah pada awal tahun lalu," jelasnya.

Suri rumah, Noraini  Zainuddin, 57 berkata, dia tinggal bersendirian di rumahnya dan terpaksa lari menyembunyikan diri di sudut rumah untuk menyelamatkan diri dari terkena atap rumah yang jatuh ketika kejadian.

"Saya ketakutan ketika itu, lantas melaungkan Azan beberapa kali sambil berdoa untuk keselamatan diri. Syukur semuanya selamat dan saya anggarkan kerugian yang dialami sekitar RM2,000.

"Harap semua kerosakan yang berlaku dapat dibaiki dalam kadar segera dan siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.