Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Rentung terbelit kabel

MEMBAKUT: Hasrat murni seorang lelaki mahu menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran kediamannya tidak kesampaian apabila dia terkena renjatan elektrik selepas motosikal ditunggangnya merempuh kabel elektrik yang melintang di tengah jalan dalam kejadian di Kampung Ulu Lumantak, di sini, malam kelmarin.
Rempuhan itu menyebabkan Nordin Haji, 48, terjatuh sebelum kabel itu terbelit lehernya menyebabkan tubuhnya separuh rentung dan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Beaufort, dalam kejadian jam 7.30 malam.

Sumber berkata, motosikal ditunggang mangsa merempuh kabel elektrik yang melintang di atas jalan raya, kira-kira 100 meter dari surau berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh lalu lehernya terbelit kabel elektrik.
Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu cuba memberi bantuan, tetapi tidak berani menyentuh tubuh mangsa yang masih mempunyai arus elektrik.

“Mereka kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort bagi memaklumkan kejadian itu kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan arus elektrik berkenaan.

“Tidak lama kemudian, anggota bomba memotong kabel yang membelit badan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Beaufort dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, sebelum kejadian, sebuah lori kontena yang melalui jalan itu dipercayai melanggar kabel elektrik itu menyebabkan kabel elektrik berkenaan terputus dan melintang di atas jalan.

Menurutnya, pada masa sama, mangsa yang kebetulan berada di belakang kenderaan berat itu dipercayai untuk ke surau berdekatan bagi menunaikan solat Tarawih tidak menyedari kewujudan kabel itu dan merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh lalu terkena renjatan elektrik sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mustaffa berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat di Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi talian 087-211222 bagi memudahkan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mustaffa turut menasihati pengguna jalan raya yang hendak ke masjid atau surau supaya mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang tragedi.

No comments:

Post a Comment