Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Rempuhan di lampu isyarat

IPOH: Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis jentera bomba yang dalam perjalanan untuk memadamkan kebakaran.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam itu, kenderaan jentera bomba membawa lebih lima anggota itu dikatakan melanggar mangsa yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Raja Idris Shah, di sini.

Rempuhan menyebabkan topi keledar dipakai mangsa pecah.
Berdasar identiti pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa, wanita malang itu dikenali sebagai Saadiah Yahya, 55, berasal dari Kampung Tersusun, Buntong, di sini.

Saksi kejadian hanya mahu dikenali sebagai Jude, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggu lampu isyarat hijau untuk melintas jalan berhampiran simpang empat itu.

Menurutnya, dia terdengar bunyi siren jentera bomba datang dari arah Jalan Raja Musa Aziz sebelum melihat beberapa kenderaan menghimpit ke kiri jalan untuk memberi laluan.
“Ketika itu saya melihat asap tebal naik ke udara tidak jauh dari lokasi kejadian, saya yakin jentera bomba itu menuju ke lokasi kebakaran untuk memadamkan api.

“Wanita malang terbabit yang menunggang motosikal di laluan tengah jalan tiga lorong itu dipercayai cuba membelok ke kiri sebelum dirempuh jentera bomba yang juga datang dari arah sama,” katanya.
Pelajar kolej swasta itu mendakwa nahas ngeri berkenaan berlaku sekelip mata sebelum mangsa digilis jentera bomba itu.

“Saya tergamam melihat tubuh mangsa terbujur kaku di atas jalan sambil darahnya mengalir tidak henti-henti dari kepalanya.

“Pemandu jentera bomba berkenaan memberhentikan kenderaan berat itu kira-kira 30 meter dari mayat mangsa. Mereka meletakkan kon keselamatan sebelum menutup mayat mangsa dengan jaket,” katanya.

No comments:

Post a Comment