Search This Blog

Sunday, August 12, 2012

Remaja maut, kereta terbabas langgar pokok



PASUKAN Bomba bertungkus-lumus mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing dalam kejadian kemalangan di Jalan Padang Matsirat-Sungai Menghulu di Langkawi, semalam.
LANGKAWI 11 Ogos - Seorang remaja lelaki maut selepas kereta dipandu rakannya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan tiang lampu di Jalan Padang Mat Sirat-Sungai Menghulu di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 2.15 pagi, mangsa, Muhammad Afiq Noor Azam, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Amirul Ihsan Ismail, 22, yang memandu kenderaan itu cedera parah dan patah paha kiri.
Muhammad Afiq merupakan anak sulung daripada empat beradik berasal dari Kampung Kuala Teriang manakala Amirul Ihsan berasal dari Kampung Padang Kandang.
Kedua-dua mangsa dikatakan tersepit di tempat duduk masing-masing kira-kira setengah jam sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.
Bapa Muhammad Afiq, Noor Azam Abdullah, 41, berkata, dua hari sebelum kejadian itu anaknya menunjukkan perubahan ganjil apabila mencium pipi neneknya.
"Bersungguh-sungguh arwah mencium dan memeluk neneknya ketika kami sekeluarga berbuka puasa beramai-ramai. Saya berasa pelik kerana arwah tidak pernah bertindak demikian sebelum ini.
"Malah, arwah sebelum ini juga sering bertanya dan menyebut nama arwah moyangnya yang telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Langkawi di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas dan merempuh sebatang pokok dan tiang lampu jalan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment