Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Rahsia tukang cuci mewah



Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Gaya hidup mewah seorang lelaki warga Indonesia yang mampu menyewa kondominium walaupun hanya bekerja sebagai pencuci bangunan membongkar rahsianya sebagai dalang menjual permit Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) kepada warga asing lain.

Tembelang lelaki berusia 40-an itu terbongkar apabila ditahan Rabu lalu, kira-kira jam 2 petang di bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika membeli juadah berbuka.


Turut ditemui bersama lelaki itu termasuk wang tunai RM4,500 dan pasport warga asing yang mendaftar di bawah Program 6P yang disimpan dalam raga motosikal jenis Yamaha Lagenda miliknya.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata, lelaki itu dikesan menerima upah ribuan ringgit hasil menjadi ejen kepada sebuah syarikat pengurusan berdaftar yang beroperasi di Kampung Pandan.


Katanya, penahanan lelaki itu susulan tangkapan dilakukan terhadap seorang warga Bangladesh yang memaklumkan pasport miliknya disimpan lelaki berkenaan.


“Hasil siasatan lanjut, kita menahan lelaki warga Indonesia itu sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah pejabat di Kampung Pandan pada hari sama.

“Warga Indonesia itu memasuki negara ini pada 2008 dan permitnya sebagai tukang cuci sudah tamat dan kini didaftarkan di bawah Program 6P, tetapi mengambil peluang menjadi ejen kepada syarikat itu untuk menjual permit kepada warga asing lain,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.


Beliau berkata, bayaran dikenakan kepada warga asing yang mahu berdaftar melalui program itu sebanyak RM85 seorang dan setakat ini, seramai 350 orang sudah berdaftar dengan syarikat berkenaan hasil usaha lelaki itu.

Menurutnya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana kesalahan menyimpan pasport milik warga asing lain.


“Dalam serbuan di syarikat itu, kita merampas 231 dokumen termasuk pasport milik warga asing yang disimpan,” katanya.

No comments:

Post a Comment