port dadah diserbu
Semua suspek yang ditahan dalam serbuan di jeti perikanan dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.
KUALA DUNGUN – Tindakan sekumpulan penagih bermaharajalela di jeti perikanan tanpa mempedulikan kehadiran orang awam berakhir apabila port mereka diserbu polis, dekat sini, pagi semalam.

Operasi besar-besaran oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama anggota cawangan lain bermula jam 9 pagi itu berjaya membongkar aktiviti pengambilan dadah yang dikatakan mulai berleluasa di sebalik bot nelayan yang berlabuh dan timbunan pukat di jeti pendaratan.

Bagaimanapun, usaha pihak polis untuk menangkap penagih terpaksa berhada-pan ujian getir apabila beberapa suspek yang menjadi sasaran dalam operasi terbabit bertindak terjun ke dalam air sebaik menyedari kehadiran polis.

Nekad terjun laut

Sebahagian daripada mereka yang terjun ke dalam air dikatakan bersembunyi di sebalik tiang konkrit jeti sehingga menyukarkan usaha polis untuk menahan mereka.

Beberapa anggota polis bagaimanapun turut terjun ke air bagi menangkap suspek sebelum dibawa naik ke jeti dengan bantuan bot polis.

Akhirnya, operasi diketuai Inspektor Wahid Sujani selama hampir dua jam itu, 19 penagih berjaya ditahan termasuk empat daripadanya penagih veteran yang sudah melangkaui usia lebih separuh abad.

Salah seorang penagih tua yang dianggap ‘otai dadah’ itu difahamkan mempunyai 20 rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah selain beberapa kali pernah keluar masuk penjara termasuk menjalani hukuman buang daerah.

Dua jam tahan penagih wanita

Sementara itu, dalam operasi sama, pihak polis terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menahan penagih wanita selepas suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke sungai.

Tiga anggota polis diketuai Sub Inspektor Ismail Omar bagaimanapun terpaksa menggunakan bantuan perahu untuk mendekati lokasi persembunyiannya sebelum berjaya menangkap suspek wanita yang menyelinap di bawah jeti perikanan yang dalamnya hampir dua meter itu.

Siasatan awal mendapati wanita berasal dari Kampung Sungai Buaya berumur 30-an itu dikatakan antara pengunjung setia port panas itu dan pernah tiga kali ditahan polis kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek terlibat dengan dadah jenis methaMpethamine dan morfin.

Mereka kini disiasat mengikut seksyen 15(1) dan 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.