Polis tahan seorang lelaki, rampas pil ekstasi RM800,000
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan Supt Baharom Othman menunjukkan pil ectasy yang dirampas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki dan merampas kira-kira 4.9 kg pil ecstasy bernilai RM800,000 di KM 260, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Port Dickson, dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt Baharom Othman berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan oleh anggota kereta peronda lebuh raya Bukit Aman pada pukul 2.45 pagi.

"Semasa kejadian, anggota kereta peronda lebuh raya telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati lebih 15,000 pil ecstacy diisi dalam 30 paket plastik dianggarkan bernilai RM800,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Melaka, mempunyai empat rekod jenayah dengan kesalahan memiliki dadah dan akan direman empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan.
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama